KENINGAU: Kira-kira 100 bekas pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Naib Ketua PKR Bahagian Pensiangan, Salleh Benedict dan 10 Ketua Daerah Mengundi (KDM) PKR bahagian itu bertindak keluar parti itu dan menyertai UMNO.
Kemasukan mereka ke dalam UMNO akan disusuli kira-kira 1,000 lagi bekas pemimpin dan ahli PKR peringkat ranting atau cawangan berikutan setiap KDM terbabit bakal membawa kira-kira 100 lagi bekas ahli parti pembangkang itu.
Pengumuman keluar PKR dibuat Salleh, 47, dan 10 bekas KDM terbabit pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pensiangan di Hotel Perkasa di sini petang kelmarin.
Mereka menyerahkan borang permohonan menjadi ahli UMNO kepada Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang menyempurnakan perasmian mesyuarat itu dan Ketua Umno Bahagian Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin.
Turut menyaksikan pengumuman dan penyerahan borang berkenaan ialah Ketua UMNO Bahagian Keningau, Datuk Sairin Karno yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Sabah.
Salleh berkata, selain hilang kepercayaan terhadap hala tuju perjuangan PKR, mereka juga sudah bosan dengan pelbagai masalah dalaman parti itu sejak pembangkang membentuk kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak (sebelum diambil alih Barisan Nasional).
Bertunjangkan keyakinan hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang memiliki dasar perjuangan politik jelas membantu rakyat pelbagai kaum dan membawa kemajuan terutama di luar bandar, mereka mengumumkan menyertai UMNO.
“Kami akan membawa 1,000 lagi ahli PKR di pelbagai ranting.
“Kami tidak mahu mereka terus terpedaya dengan pembohongan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin PKR yang lain,” katanya.
Dipetik dari Berita Harian
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.