2 rakyat Turki seludup 13.8kg syabu diberkas

Posted by on Sep 01, 2010 | Leave a Comment

SHAH ALAM 1 Sept. – Kisah warga Iran, India dan Bangladesh yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana cuba menyeludup dadah ke negara ini telah kerap kali dilaporkan.

Kali ini, dua lelaki rakyat Turki pula dikesan cuba menyeludup 13.8 kilogram (kg.) dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM3.5 juta, kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Supritendan Abd. Razak Md. Zin berkata, kedua-dua suspek berusia 18 dan 26 tahun itu ditahan di ruang ketibaan KLIA, pukul 10.30 pagi.

Menurut beliau, mereka yang dipercayai pertama kali memasuki negara ini ditahan selepas dilihat oleh pihak berkuasa berkelakuan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas tiga bagasi dibawa mereka menemui bungkusan disyaki syabu yang disorokkan di dalam tempat rahsia.

“Siasatan awal mendapati mereka singgah di dua negara lain sebelum sampai di Malaysia. Kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan ujian air kencing mendapati mereka negatif mengambil dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abd. Razak memberitahu, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 7 September ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, katanya, polis berjaya menahan seorang lelaki Iran yang cuba menyeludup masuk 2 kg. syabu bernilai RM500,000 dalam bagasi miliknya, di KLIA, pada pukul 9.30 pagi semalam.

Katanya, suspek direman sehingga 6 September ini untuk disiasat di bawah akta yang sama.

“Suspek menggunakan modus operandi sama dengan menyorokkan syabu di bahagian rahsia yang direka khas dalam bagasi miliknya,” ujar beliau.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Leave a comment

Advertisement

Subscription

You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.

RSSLatest News (Follow Us @ Twitter)