SEREMBAN 2 Sept. – Majlis Perbandaran Nilai (MPN) menyangkal dakwaan kononnya ahli majlis pihak berkuasa tempatan itu tidak menjalankan tugas mereka dengan efisien.
Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Halim Abd. Latif berkata, dakwaan tersebut tidak berasas dan menegaskan ahli majlisnya sentiasa komited membantu rakyat dan apa juga permasalahan cuba diatasi segera.
”Ahli majlis MPN yang dilantik diberikan kawasan untuk diawasi dan mereka telah memantau serta menyalurkan apa juga maklumat untuk diambil tindakan segera oleh pihak MPN.
”Mereka telah memberikan perkhidmatan yang baik dan telah banyak membantu MPN,” katanya di sini hari ini.
Abd. Halim ditemui pemberita selepas menghadiri penutupan bengkel jahitan untuk ibu tunggal di Dewan Orang Ramai Taman Tuanku Ja’afar, dekat sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau menyarankan kepada orang ramai supaya menghubungi juga pihak MPN jika terdapat permasalahan di kawasan perumahan masing-masing.
”Tujuan kita melantik ahli majlis pihak berkuasa tempatan ini adalah untuk membantu kita dalam menyelesaikan apa juga perkara berbangkit oleh penduduk setempat.
”Kita sedia memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat,” jelasnya.
Beliau juga berkata, apa yang menjadi masalahnya, terdapat penduduk yang mencari isu setempat dan mengambil gambar tanpa merujuk kepada ahli majlis sedia ada.
”Penduduk ada ketikanya lebih gemar menghantar terus kepada MPN kerana mereka percaya, cara itu lebih pantas daripada melalui mana-mana ahli majlis yang dilantik.
”Apa pun caranya, kita masih menerima laporan dan aduan. Tetapi kalau anda mengenali ahli majlis pihak berkuasa tempatan ini, eloklah aduan itu dimaklumkan supaya ia boleh direkodkan dalam agenda mesyuarat MPN pada masa hadapan,” jelasnya.
Sementara itu, pada program yang berlangsung hari ini menunjukkan bahawa peranan pihak berkuasa tempatan tidak hanya menumpukan kepada soal kebersihan, longkang tersumbat, pokok tumbang dan sebagainya.
”Kita juga memberikan kesejahteraan untuk rakyat, kediaman yang boleh disewa pada kadar rendah dan sebagainya.
”MPN juga membantu masyarakat menjadi lebih maju melalui latihan yang diberikan dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain,” ujarnya.
Pada program ini, seramai 50 peserta yang terdiri daripada ibu tunggal di sekitar kawasan MPN diberikan latihan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Wanita negeri.
habis
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.