SHAH ALAM 1 Mac – Selebriti popular, Anita Sarawak buat julung kalinya akan tampil mengadakan persembahan bersama penyanyi jazz terkenal, Noryn Aziz sempena Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini pada 6 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SACC, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, kedua-dua penyanyi itu akan menghiburkan tetamu yang hadir selama tiga jam bermula pada pukul 12 tengah hari hingga pukul 3 petang.
Beliau berkata, turut memeriahkan persembahan tersebut ialah Zizan Raja Lawak dan Juliana Evans yang bertindak sebagai pengacara jemputan.
“Kami memilih Anita dan Noryn kerana status mereka sebagai selebriti bertaraf antarabangsa dan ia sudah pasti menjanjikan persembahan memukau kepada hadirin yang akan hadir pada hari tersebut.
“Kami menjangkakan lebih 1,500 tetamu akan menonton persembahan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zulkifli menambah, hadiah bernilai lebih RM10,000 seperti barang kemas, set perabot mewah dan beberapa cenderahati menarik bakal menanti para tetamu pada hari tersebut.
Sementara itu, Anita Sarawak berkata, beliau berbesar hati kerana pihak SACC menjemputnya mengadakan persembahan gilang-gemilang dan berjanji akan melakukannya sebaik mungkin.
“Saya juga akan melakukan beberapa kejutan pada hari tersebut supaya mereka yang hadir pada hari tersebut terhibur,” katanya.
Tiket yang berharga dari RM420 hingga RM550 seorang itu mula dijual hari ini dan mereka yang berminat untuk memilikinya boleh melayari laman web rasmi Tiket Charge di www.ticketcharge.com.my atau menghubungi terus ke talian hotline Ticket Charge bernombor 03-9222 8811.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.