
KUALA LUMPUR 2 Sept. – Felcra Berhad (Felcra) mengumumkan dividen RM107 juta kepada lebih 80,000 peserta agensi itu yang akan diagihkan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, jumlah berkenaan merupakan peningkatan 33.58 peratus berbanding tahun lalu.
Menurutnya, purata agihan bagi setiap peserta ialah RM1,902.33, bagaimanapun di sesetengah projek ada peserta mendapat lebih daripada jumlah yang ditetapkan itu.
Menurut beliau, ia disebabkan pegangan saham tanah yang luas oleh peserta berkenaan seperti di projek Paya Tok Akil, Perlis yang dividennya mencecah RM14,228.66 bagi seorang peserta manakala RM11,199.43 seorang bagi projek Koperasi Sungai Kelayak, Sabah.
“Sehingga bulan lalu, Felcra mengumpul pendapatan keseluruhan lebih RM797 juta yang dijana oleh ladang-ladang di bawah Program Penyatuan dan Pemulihan Tanah.
“Jumlah perbelanjaan daripada pendapatan itu ialah kira-kira RM333 juta yang menjadikan jumlah keuntungan RM463,962.015,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian dividen kepada peserta Felcra serta penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim di Ibu Pejabat Felcra di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Felcra, Datuk Tajudin Abd. Rahman dan kepimpinan tertinggi agensi itu.
Kata Mohd. Shafie, pembayaran interim dividen yang pertama bagi tahun ini dibuat berdasarkan keuntungan syarikat sehingga Mei lalu manakala keuntungan bulan-bulan berikutnya akan dibayar pada Disember ini iaitu sebagai persiapan sesi persekolahan 2011.
Mengenai peningkatan pendapatan Felcra itu, beliau berkata, ia disumbangkan oleh tiga faktor utama iaitu harga komoditi getah dan kelapa sawit yang stabil di pasaran dunia.
Jelasnya, ia juga disumbangkan faktor peningkatan produktiviti pengeluaran hasil ladang dan kecekapan pengurusan Felcra yang bekerja bertungkus-lumus bagi memastikan peserta mendapat hasil dan dividen memberangsangkan.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.