Hindar birokrasi pacu ekonomi

Posted by on Jul 20, 2010 | Leave a Comment

REMBAU 20 Julai Ledakan transformasi ekonomi ketika ini bukan sahaja memerlukan pelabur memainkan peranan sebagai pemacu sektor ekonomi negara akan tetapi ia menuntut kerjasama daripada kakitangan awam untuk menjayakannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, melihat kepada situasi ekonomi terkini unsur-unsur birokrasi di peringkat jabatan perlu dihindarkan supaya ia dapat memberi galakan kepada para pelabur untuk melabur di negara ini.

Katanya, persaingan untuk menarik pelaburan semakin sengit yang mana Malaysia bukan sahaja perlu bersaing dengan negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara Eropah, malah negara lain seperti China, India, Vietnam dan Thailand.

Pelbagai cara kita telah lakukan termasuklah mengadakan Pusat Sehenti yang mana ia akan memudahkan para pelabur untuk berurusan di satu tempat untuk semua jabatan dan agensi lain.

Jika dahulu, banyak rungutan yang diterima sehingga menyebabkan pihak pelabur terpaksa keluar masuk dari satu jabatan ke jabatan lain semata-mata untuk mendapatkan kelulusan dan sudah tentunya ia menyusahkan mereka.

Melalui Pusat Sehenti yang diperkenalkan di semua peringkat PBT sudah pastinya akan memberi kemudahan kepada mereka untuk menguruskan sebarang permohonan, katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Sokongan Perlesenan Perniagaan Elektronik (BLESS) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shukry Mohd. Salleh, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Razak Mansor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Mohamad berkata, dari tempoh Januari hingga Mac tahun ini sahaja, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) telah meluluskan sebanyak RM5.2 bilion modal pelaburan yang melibatkan 170 projek perkilangan seluruh negara.

Jelas beliau, dari pelaburan modal tersebut, sebanyak RM2.0 bilion atau 39 peratus merupakan pelaburan tempatan sementara RM3.2 bilion atau 61 peratus adalah pelaburan asing.

Dibanding dengan 2009, MIDA telah meluluskan pelaburan modal berjumlah RM32.6 bilion yang mana 32 peratus atau RM10.5 bilion adalah pelaburan tempatan sementara RM22.1 billion atau 67.9 peratus adalah daripada pelaburan asing, katanya.

Tambah Mohamad, dari tempoh Januari hingga Mac 2010, Negeri Sembilan menerima sebanyak tujuh projek perkilangan yang melibatkan jumlah pelaburan modal sebanyak RM115.1 juta.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Leave a comment

Advertisement

Subscription

You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.

RSSLatest News (Follow Us @ Twitter)