
KUALA TERENGGANU 2 Sept. – Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini mencatat kejayaan apabila dua bayi berjaya dilahirkan melalui persenyawaan dalam tabung uji (IVF) atau rawatan Teknik Bantuan Reproduksi (ART) yang mula dilaksanakan November tahun lalu.
Kelahiran bayi lelaki dan perempuan pada 31 Ogos lalu secara pembedahan merupakan kejayaan selepas dua pasangan suami isteri terbabit menggunakan kaedah itu pada Disember lalu.
Bayi berkenaan dilahirkan Mastika Abdul Aziz, 31, yang melahirkan bayi lelaki seberat 2.9 kilogram (kg) yang diberi nama Muhamad Amar Haziq Muhamad Farimi dan Salina Mohd. 44, yang melahirkan bayi perempuan seberat 2.81 kg dan diberi nama Nur Farisya Elia Fazuri.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. Abdul Rahman Mokhtar berkata, HSNZ adalah hospital kerajaan ketiga menawarkan perkhidmatan itu yang berjaya melahirkan bayi melalui IVF dan suntikan ke dalam sel rahim (ICSI) selain Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
Katanya, ia memberi harapan baru kepada pasangan yang menghadapi masalah kesuburan di negeri ini dengan kos yang rendah antara RM3,000 hingga RM5,000 berbanding klinik swasta antara RM12,000 hingga RM25,000.
Beliau berkata, pada masa ini 10 lagi wanita yang menggunakan kaedah itu melalui hospital berkenaan didapati mengandung dan dijangka melahirkan anak pada tahun ini dan tahun depan.
“Dengan kejayaan itu menjadikan peratus kelahiran bayi melalui kaedah tersebut adalah 17.2 peratus dan merupakan kejayaan yang membanggakan walaupun rendah sedikit berbanding di negara-negara maju antara 25 hingga 35 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat ibu dan bayi-bayi berkenaan di HSNZ di sini petang ini.
Kedua-dua ibu dan bayi berkenaan dibenarkan pulang hari ini. Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nordiyanah Hassan.
Dr. A. Rahman berkata, pada masa ini dianggarkan 10 hingga 15 peratus pasangan yang berkahwin menghadapi masalah ketidaksuburan dan lebih 40 peratus kes-kes tersebut memerlukan rawatan ART
Katanya, ART merupakan tiga kaedah iaitu permanian berhadas (IUI) , IVF dan ICSI dan HSNZ telah memulakan rawatan itu sejak tahun 2000 tetapi terhad kepada IUI sahaja.
“Namun begitu perkhidmatan ART yang melibatkan ketiga-tiga teknik itu diperkenalkan 2007 sehinggalah kepada pengubahsuaian klinik serta pembelian peralatan dan berfungsi sepenuhnya November tahun lalu,” katanya
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi menyediakan kemudahan berkenaan bagi membantu pasangan yang telah lama berkahwin tetapi menghadapi masalah mendapatkan zuriat.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.