
RAUB 31 Ogos – Lain dicari lain yang dijumpai.
Begitulah berlaku terhadap sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menemui tapak perlombongan emas haram di Hutan Simpan Tersang dekat sini, selepas menyerbu lokasi sama untuk membanteras aktiviti pembalakan haram.
Operasi disertai 10 pegawai penguat kuasa SPRM dari Putrajaya itu memasuki hutan simpan tersebut pada pukul 8 pagi ini selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan mengenai aktiviti haram di kawasan berkenaan.
Menurut sumber SPRM, bagaimanapun apa yang mengejutkan, pasukan itu menjumpai kapal korek mini dianggarkan bernilai RM200,000 bagi menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram.
Katanya, aktiviti melombong emas tidak berlesen itu terletak kira-kira 15 kilometer dari kawasan pembalakan haram yang menjadi sasaran serbuan pasukan SPRM.
Bagaimanapun, katanya, tiada sesiapa yang ditahan di kawasan lombong emas itu kerana dipercayai tidak beroperasi pada hari cuti umum.
Sementara itu, kata sumber SPRM itu, kegiatan pembalakan haram dan pencerobohan tersebut dipercayai telah bermula sejak empat tahun lalu dengan membabitkan 30 peratus keluasan di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan negeri.
“Semasa serbuan itu dilakukan, kita menemui tiga lelaki sekeluarga yang sedang memotong kayu balak berkenaan berumur antara 18 dan 53 tahun.
“Mereka yang ditahan itu berusia 53 tahun dan merupakan bapa kepada dua lagi lelaki. Mereka ditahan untuk diambil keterangan dan membantu siasatan.
“Lelaki itu mendakwa dia mula menceroboh hutan itu sejak sebulan lepas dan kayu tersebut dijual kepada seorang pengusaha di ibu negara mengikut permintaan dan saiz kayu yang dikehendaki,” katanya kepada pemberita selepas serbuan berakhir pada pukul 4 petang dekat sini, hari ini.
Menurut sumber itu, siasatan awal mendapati terdapat tiga kumpulan utama yang terlibat kegiatan pembalakan haram tersebut dengan setiap kumpulan dianggotai tiga hingga empat orang.
Tambahnya, setiap kumpulan itu pakar dalam cara pemotongan kayu yang dikehendaki pemborong kayu.
Hasil serbuan itu, kata beliau, pasukan SPRM menemui dua tan kayu cengal yang telah dipotong kepada saiz yang lebih kecil di kawasan ketiga-tiga suspek tersebut ditahan.
“Manakala lima hingga enam tan lagi ditemui bertaburan di kawasan tidak jauh dari situ dan harga bagi setiap metrik tan kayu berkenaan sekitar RM2,500,” ujarnya.
Tambah sumber itu, berdasarkan siasatan terdapat kira-kira 300 batang pokok cengal ditebang oleh kumpulan pembalakan haram tersebut dalam tempoh beberapa minggu ini.
Beliau turut kesal dengan pihak berkuasa yang seolah-olah ‘menutup mata’ terhadap aktiviti pembalakan haram yang telah bermula sejak empat tahun lalu.
“Mereka sepatutnya memantau, membanteras dan melaporkan aktiviti yang tidak bermoral itu.
“Adalah mustahil pihak berkenaan tidak mengetahui mengenai aktiviti itu memandangkan tugasnya adalah menjalankan pemantauan di dalam hutan simpan sekurang-kurangnya dua kali sebulan,” kata beliau.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.