Jelajah Malaysia bermotosikal

Posted by on Dec 06, 2011 | Leave a Comment

PULAU PINANG 6 Dis. – Kementerian Pelancongan akan memperkenalkan produk pelancongan baharu iaitu pakej menjelajah Malaysia dengan motosikal berkuasa tinggi pada suku pertama tahun depan.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Pulau Pinang, Logi Dhasan berkata, ia diperkenalkan kerana kementerian mendapati banyak pelancong tempatan dan asing berminat menunggang motosikal bagi menjelajahi pelbagai destinasi pelancongan di negara ini.

Oleh itu, katanya, kementerian mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi pelancongan di seluruh negara untuk mewujudkan konsep ‘terbang dan tunggang’ (fly and ride) kepada pelancong asing untuk mengadakan ekspedisi bermotosikal di Malaysia.

“Saya yakin pakej tersebut bukan sahaja dapat menarik perhatian pelancong asing, malah disambut baik oleh pelancong tempatan,” katanya sebelum melepaskan peserta konvoi bermotosikal besar Cuti-Cuti 1Malaysia On 2 Wheels – Big Bike Rally 2011 hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Royal Enfield, Mohd. Na’im Hasan dan Ketua Program dan Penjenamaan Big Bike Rental & Tours, Stephen Ronee Lau.

Mengenai konvoi motosikal besar, Stephen berkata, 48 orang yang berusia antara 25 hingga 59 tahun telah menyertainya.

Jelasnya, program tersebut berlangsung Ahad lalu sehingga Sabtu ini selama tujuh hari dan ia akan menjelajah lebih 1,500 kilometer.

“Kita akan menjelajahi tujuh tempat bermula di Putrajaya, Sabtu lalu dan seterusnya ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Pulau Pinang merupakan destinasi kedua dan kita akan menghala ke Muzium Padi di Kedah hari ini,” katanya.

Tambahnya, program berkenaan merupakan satu usaha permulaan untuk memperkenalkan pakej menjelajah Malaysia dengan motosikal berkuasa tinggi di negara ini.

“Jika produk baharu ini dapat diluluskan oleh kementerian, kami akan mengeluarkan beberapa pakej untuk menepati permintaan pelancong,” katanya.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Leave a comment

Advertisement

Subscription

You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.

Latest News (Follow Us @ Twitter)