MELAKA 2 Sept. – Sebanyak 130 kemalangan maut dilaporkan berlaku di seluruh negeri ini sepanjang tempoh tujuh bulan lalu iaitu berkurangan berbanding 139 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, Datuk R. Perumal berkata, kes kematian akibat kemalangan jalan raya juga menurun dalam tempoh itu.
”Sebanyak 140 kematian berlaku sepanjang Januari hingga Julai tahun lalu berbanding 147 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Jalan Sungai Putat di sini semalam.
Kempen tersebut adalah anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.
Turut hadir Pengarah JKJR, Norazlee Sulaiman dan Pengarah JPJ, Mohd. Fadhil Hassan.
Selain itu kata Perumal, bilangan kes kemalangan melibatkan kecederaan parah juga berkurangan daripada 158 kes tahun lalu kepada 95 kes pada tahun ini.
”Bilangan kes kecederaan parah agak tinggi iaitu 340 kes pada tempoh tujuh bulan lalu namun jumlah itu dilihat berkurangan berbanding 350 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu,” ujarnya.
Kata beliau, biarpun statistik menunjukkan penurunan namun pemandu kenderaan perlu sentiasa mengamalkan pemanduan yang berhemah bagi mengelakkan kemalangan.
”Kita perlu sentiasa menyedarkan dan mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah demi menjaga keselamatan mereka dan juga pemandu lain,” kata beliau.
Perumal berkata, selain mengedarkan risalah kempen, penunggang motosikal juga diberi topi keledar dan pelekat keselamatan.
Menurutnya, kempen keselamatan itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa khususnya menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
”Kita harap melalui kempen ini kesedaran membudayakan pemanduan berhemah dapat ditingkatkan oleh pemandu terutama sepanjang musim perayaan ini,” katanya.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.