Kerepek segar resipi keluarga

Posted by on Sep 03, 2010 | Leave a Comment

SEREMBAN 2 Sept. Jika anda gemar menikmati kuih tradisional seperti kerepek yang segar dan enak, anda bolehlah mengunjungi sebuah premis di Lenggeng dekat sini.

Ini kerana, perusahaan kerepek segar ini dibuat mengikut resipi nenek moyang sementara acuan yang digunakan pula merupakan peninggalan lama keluarga.

Maka kerepek yang dibuat oleh Zuraidah Ismail, 53, kini menjadi kegemaran semua, apatah lagi ia kini menjadi sebahagian makanan ringan yang boleh dinikmati pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Cita rasanya asli. Kalau yang datang membeli, pasti akan membawa pulang dalam jumlah yang besar.

Rahsianya mudah. Jaga kualiti dan paling penting rasa dan nikmat kerepek ini tidak diubah, walaupun banyak produk moden dan bahan pembuatnya pula yang telah menggunakan kaedah terkini, katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Lenggeng, dekat sini hari ini.

Menurut Zuraidah, antara kerepek yang dijualnya termasuklah jenis rempeyek, muruku, kuih sepit, kuih siput, bijan kerepek pisang dan banyak lagi.

Saya mengusahakan semua produk ini di rumah dan baru sebulan ini saya memproses kerepek ini di sebuah kedai dekat Pekan Lenggeng ini.

Apa yang boleh dikata ialah ramai sangat orang yang datang membeli, sampai tidak cukup tangan, katanya.

Bagi Zuraidah, tiada yang sukar untuk memajukan diri, walaupun perusahaan kerepek yang dilakukannya itu dibuat secara kecil-kecilan dan dalam kawasan kategori kampung.

Kadangkala, orang dari bandar pun datang membeli kerepek ini.

Agaknya kerepek ini, sudah dikenali di Kuala Lumpur. Terima kasihlah kerana dapat menikmati kerepek warisan turun-temurun ini, jelasnya.

Apa yang menggembirakan Zuraidah ialah dia telah pun mendapat tempat tetap untuk memasarkan kerepek-kerepek tersebut.

Alhamdulillah saya bercadang untuk mengembangkan perniagaan selepas Aidilfitri dan memasarkan kerepek di beberapa stesen Petronas di Kuala Lumpur, tambahnya.

Zuraidah berkata, selepas Aidilfitri ini juga dia bersama suaminya, Ruslan Mohd. Nor, 57, akan mengembangkan industri kuih-muih tempatan dan tradisional ini ke pasaran lebih besar.

Saya telah menghasilkan rempeyek empat rasa seperti kacang hijau, kacang dal, ikan bilis dan kacang tanah.

Lepas ini saya akan tumpukan pula kepada kuih baulu bakar, kuih keras, sagu bakar dan kuih bangkit mengikut acuan asal sebagaimana yang dibuat oleh orang terdahulu di negeri ini.

Kuih tradisional negeri ini mampu dipasarkan sebagai produk makanan berkualiti, malahan boleh dijadikan makanan ringan, jika ia diproses dengan baik, selain menjaga kualitinya, ujar Zuraidah.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Leave a comment

Advertisement

Subscription

You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.

RSSLatest News (Follow Us @ Twitter)