
KUALA LUMPUR 26 Julai – Golongan wanita di negara ini harus membuang tanggapan negatif terhadap kanser payudara kerana bilangan kes melibatkan penyakit itu semakin meningkat dan majoriti daripada mereka adalah dari rantau ini.
Sehubungan itu, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menyeru semua wanita melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berhubung cara mencegah kanser tersebut.
Katanya, kesedaran awal terhadap ancaman penyakit itu amat penting agar usaha merawat dapat dilakukan segera berikutan peratusan untuk menyembuhkan penyakit itu masih tinggi.
“Kaum wanita di negara ini harus mengambil langkah proaktif bagi mengesan penyakit ini seawal mungkin kerana rawatan perubatan akan lebih berkesan apabila dilakukan di peringkat awal.
“Saya berharap golongan wanita tahu cara mengurus kesihatan dengan baik dan mengambil langkah-langkah pencegahan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran program Unit Bergerak Membawa Maklumat Ke Seluruh Negara (Murni) anjuran Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) di sini hari ini.
Noorainee yang memuji langkah BCWA seterusnya menyarankan lebih ramai individu, pihak korporat, organisasi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut tampil memberi kerjasama dan bantuan dalam usaha mencegah kanser payudara.
Sementara itu, Penaung BCWA, Puan Sri Akmal Abdul Salam berkata, program Murni adalah usaha persatuan untuk membantu wanita menguasai hidup mereka dengan pengesanan awal kanser payudara.
Kata beliau, unit bergerak yang kini satu-satunya milik BCWA dilengkapi alat pengesanan awal dan sokongan yang dikendalikan oleh dua orang jururawat dan bekas penghidap kanser payudara yang terlatih.
“Kita akan membantu golongan wanita untuk mendapatkan rawatan lanjut sekiranya pasukan unit bergerak mengesan sebarang perubahan tidak normal dalam payudara mereka.
“Menerusi program ini, kita menggunakan tiga pendekatan awal iaitu sokongan kepada wanita, keluarga dan membina kapasiti masyarakat tempatan,” katanya.
Akmal berkata, pada peringkat awal, Murni akan bergerak di sekitar Gombak sebelum memperluaskan program ke kawasan pedalaman.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.