Kurangkan pekerja warga asing

Posted by on Sep 06, 2010 | Leave a Comment

Membangunkan tenaga kerja tempatan berkualiti antara 8 inisiatif SRI

PUTRAJAYA: Membangunkan tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing adalah antara lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak, semalam sebagai pelengkap Model Baru Ekonomi (MBE) bagi memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan

tinggi.

Tujuh SRI lagi ialah mengupayakan kembali sektor awam; mencipta ekonomi domestik yang berdaya saing; memperkasakan sektor awam; mengambil tindakan affirmatif yang telus dan mesra pasaran; membina asas pengetahuan dan infrastruktur; memperkasakan sumber pertumbuhan dan memastikan kebolehmapanan pertumbuhan ekonomi.

Berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, Perdana Menteri mahu semua pihak memahami, meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap lapan SRI itu kerana ia adalah satu strategi pengurusan ekonomi negara yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Agenda utama kerajaan ialah melaksanakan program transformasi kerajaan kerana matlamat kita ialah untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi dalam masa kurang daripada 10 tahun.

Atas dasar itulah, kita kena pastikan kejayaan lapan SRI ini kerana ia merentasi semua 12 bidang Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEA), katanya pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib tidak memperincikan inisiatif pengurangan kebergantungan kepada tenaga kerja, tetapi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, baru-baru ini menjelaskan kerajaan menetapkan jumlah pekerja asing di negara ini hanya 1.5 juta orang dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pada masa ini, ada 1.8 juta pekerja asing di Malaysia, iaitu 39 peratus dalam sektor pembuatan, 19 peratus pembinaan, 14 peratus perladangan, 12 peratus pembantu rumah, 10 peratus perkhidmatan dan selebihnya di sektor pertanian.

Mengikut pecahan negara pula, rakyat Indonesia meliputi 50.9 peratus atau 916,200 orang, Bangladesh 17.4 peratus (313,200), Nepal 9.7 peratus (174,600), Myanmar 7.8 peratus (140,400), India 6.3 peratus (113,400) dan selebihnya Vietnam.

Najib dalam ucapannya juga menegaskan usaha mencari sumber pertumbuhan baru perlu dipertingkatkan, antaranya menambah pelaburan tempatan dan pelaburan terus asing (FDI) supaya tidak hanya bertumpu kepada peruntukan kerajaan.

Kita perlu berusaha menjana kekayaan dengan mengambil tindakan lebih kreatif menerusi pelbagai program inovasi, selain memastikan modal insan dan tenaga mahir yang kita miliki mampu memenuhi kehendak pasaran, katanya.

Mengenai hubungan antara kaum, Najib berkata, semua perkara yang sudah disepakati oleh pengasas negara, terutama perlembagaan yang berdasarkan kontrak sosial antara kaum tidak seharusnya dipersoalkan.

Dalam menjaga perhubungan antara kaum, kita hendaklah peka kepada sensitiviti dan janganlah kita membuat apa-apa perbuatan, tindakan atau sekalipun menutur apa-apa perkataan yang boleh melukakan saudara kita daripada kaum lain.

Kita hendaklah beringat dan berpegang teguh kepada perkara yang sudah dipersetujui dan dimaktubkan oleh generasi yang lalu sejak sekian lama sehingga kita berada dalam suasana seperti hari ini, katanya.

Beliau menekankan kepada usaha menghayati konsep 1Malaysia, iaitu gagasan yang diwujudkan kerajaan untuk menguruskan perhubungan antara kaum di negara ini.

Katanya, kejayaan mengendalikan perhubungan antara kaum dengan baik dapat menjamin perpaduan nasional dan kestabilan negara.

Jika dua aspek itu dapat dielakkan banyaklah suhu panas akan reda dalam negara kita dan saya percaya ia juga boleh membawa kepada pengukuhan perpaduan nasional dan kestabilan politik negara.

Perkara ini perlu dijaga bagi memastikan kelangsungan negara demi masa depan generasi akan datang, katanya.

Dipetik dari Berita Harian

Leave a comment

Advertisement

Subscription

You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.

RSSLatest News (Follow Us @ Twitter)