SILVER SPRING, Maryland 2 Sept. – Seorang lelaki yang mengutuk program alam sekitar Discovery Channel selama bertahun-tahun, memecah masuk ke dalam ibu pejabat syarikat itu dengan sekurang-kurangnya satu alat letupan diikat pada badannya semalam dan mengacukan senjata kepada tiga tebusan, sebelum polis membunuhnya.
Tebusan berkenaan, dua pekerja Discovery Communications dan seorang pengawal keselamatan tidak cedera setelah ditahan selama empat jam.
Ketua Polis, Thomas Manger berkata, pegawai taktikal bertindak masuk selepas polis yang memantau lelaki itu melalui kamera keselamatan melihatnya mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukannya pada tebusan.
Alat letupan yang berada pada badan lelaki tersebut meletup apabila polis menembaknya, kata Manger.
Polis sedang cuba menentukan sama ada dua kotak dan dua beg galas milik penjenayah berkenaan mengandungi bahan letupan.
Seorang pegawai penguatkuasaan undang-undang berkata, pihak berkuasa mengenal pasti suspek sebagai James J. Lee.
Polis County dan anggota bomba malam semalam melihat skrin komputer riba yang menunjukkan imej sekujur tubuh tertiarap berlumuran darah.
Pihak berkuasa juga menghantar sebuah robot untuk melucutkan bahan letupan yang berada pada tubuh penjenayah bersenjata itu.
Kapten Polis, Paul Starks berkata, suspek telah melepaskan sekurang-kurangnya satu das tembakan dan polis percaya dia bertindak bersendirian, namun sedang menyiasat semua kemungkinan.
NBC News melaporkan, selepas penerbitnya menghubungi talian umum Discovery, seorang lelaki mengangkat telefon lalu memperkenalkan dirinya sebagai James J. Lee dan berkata mempunyai senjata api dan beberapa buah bom. – AP
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.