Lokasi kemalangan dipantau

Posted by on Sep 03, 2010 | Leave a Comment

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Polis Trafik Kuala Lumpur akan memberi tumpuan kepada lima laluan maut di sekitar ibu negara dalam Ops Sikap Ke-22 sempena sambutan Aidilfitri bermula 3 hingga 17 September ini.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, jalan-jalan maut itu dikenal pasti sebagai lokasi yang kerap berlaku kemalangan.

“Lima jalan tersebut adalah Jalan Cheras, Jalan Kuching, Jalan Loke Yew, Jalan Kepong dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Orang ramai khususnya yang pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri dan melalui jalan berkenaan diminta lebih berwaspada di lokasi tersebut,” katanya selepas majlis penyerahan skim pampasan bencana kerja ex-gratia di sini hari ini.

Tambah Rusli, pihaknya akan mengerahkan ramai anggota untuk terlibat dalam Ops Sikap kali ini.

“Pasukan Trafik Kuala Lumpur akan membuat rondaan lebih kerap di lokasi tersebut dengan menggunakan pasukan bermotosikal dan kereta peronda.

“Sehubungan itu, kita berharap agar kadar kemalangan dan kematian dapat diturunkan selepas begitu banyak kempen kesedaran dibuat pelbagai pihak,” katanya.

Mengulas tentang majlis penyerahan skim pampasan bencana kerja ex-gratia hari ini, Rusli memberitahu, tiga keluarga telah dipilih untuk menerima sumbangan itu.

“Sumbangan daripada kerajaan itu bertujuan meringankan beban keluarga anggota yang telah meninggal dunia akibat kemalangan maut ketika bertugas.

“Jika hendak dibandingkan dengan nyawa, pastinya ia tidak mampu untuk dinilaikan namun sumbangan ini sebagai tanda jasa mereka masih dikenang,” jelasnya lagi.

Menurutnya, tiga keluarga tersebut ialah Norliza Ahmad, R. Pasuwady Amal dan Koperal Zaiton Abdul Aziz.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Leave a comment

Advertisement

Subscription

You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.

RSSLatest News (Follow Us @ Twitter)