
KUALA LUMPUR 20 Julai – Sebuah pusat rawatan yang boleh menempatkan 800 hingga 1,000 penghidap HIV/AIDS akan dibina di tanah seluas 0.6 hektar dekat sini sebaik sahaja peruntukan RM35 juta diluluskan kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mendapat tanah untuk membina pusat tersebut yang juga bakal menjadi tempat tinggal dan perlindungan penghidap HIV/AIDS.
“Pusat berkenaan juga mungkin akan menempatkan penghidap bukan Islam mengikut keperluan dan peruntukan kewangan yang diluluskan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima penyerahan zakat perniagaan dan agihan sempena Bulan Zakat Peringkat Wilayah Persekutuan daripada tujuh syarikat berjumlah RM1.75 juta.
Turut hadir, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, Datuk Mustafa Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Sohaimi Mohd. Salleh.
Menurut Jamil Khir, berdasarkan data PPZ, pada 2009, sebanyak 1,302 syarikat membayar zakat perniagaan dengan jumlah kutipan RM29.11 juta dan itu hanya 33 peratus daripada jumlah syarikat yang layak membayar zakat perniagaan.
Katanya, masih terdapat 2,652 syarikat berpotensi membayar zakat belum tampil menunaikannya.
Mengulas jumlah pembayaran zakat tahun ini, Jamil Khir berkata, kutipan meningkat 28 peratus mengatasi sasaran berikutan kemelesetan ekonomi dunia tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, kutipan zakat akan dipulangkan kepada masyarakat, antaranya sebanyak RM34 juta diagihkan kepada 9,000 fakir miskin yang menerima bantuan setiap bulan.
“MAIWP juga memperkenalkan bantuan makanan sebanyak tiga kali seminggu di 31 masjid sekitar Wilayah Persekutuan untuk golongan fakir miskin di peringkat permulaan.
“Mereka yang memerlukan bantuan makanan boleh pergi ke masjid-masjid tersebut mengikut waktu yang ditetapkan dan kami kini memantau sambutan dan perkembangannya,” katanya.
Beliau menambah, sebanyak 26 skim bantuan kepada lapan asnaf disediakan, antaranya 50 pelajar dihantar melanjutkan pelajaran dalam bidang perbankan Islam di Mesir.
Menurut Jamil Khir, mereka akan berkhidmat di sekitar Wilayah Persekutuan setelah tamat pengajian kelak.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.