Malaysia, Indonesia setuju percepat rundingan sempadan

Posted by on Sep 06, 2010 | Leave a Comment

KOTA KINABALU 6 Sept. – Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk mempercepatkan penyelesaian berhubung isu perbatasan sempadan maritim antara kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, isu itu harus diberi perhatian sewajarnya supaya insiden 13 Ogos lalu tidak berulang.

Katanya, kedua-dua negara akan mengadakan dua mesyuarat Kumpulan Teknikal sebelum akhir tahun ini, setelah kali terakhir pertemuan pada Oktober 2009 di Bali, Indonesia.

“Saya dan Menteri Luar Republik Indonesia bersepakat supaya Malaysia dan Indonesia mempercepat dan mempertingkatkan usaha rundingan melibatkan sempadan maritim.

“Kumpulan Teknikal kedua-dua negara akan bertemu pada 11 dan 12 Oktober ini di Malaysia manakala Mesyuarat Teknikal ke-17 akan dihoskan oleh Indonesia pada 23 dan 24 November depan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan empat mata bersama Menteri Luar Republik Indonesia, Dr. Marty Natalegawa dan delegasi negara itu di sini.

Anifah berkata, selain Laut Sulawesi dan kawasan paling selatan di Selat Melaka yang merupakan agenda utama rundingan, terdapat juga kawasan lain yang telah dipersetujui untuk dibincangkan.

Katanya, ia termasuk kawasan laut wilayah di bahagian timur Selat Singapura, kawasan Zon Ekonomi Eksklusif di Selat Melaka dan Zon Ekonomi Eksklusif di Laut China Selatan.

Sehubungan itu, katanya, perbatasan sempadan laut wilayah di Selat Singapura akan dimasukkan ke dalam agenda Mesyuarat-Mesyuarat Teknikal seterusnya.

Selain itu, jelasnya, nelayan-nelayan Malaysia dan Indonesia perlu memasang satu sistem pengesan seperti Vessel Management System (VMS) di atas bot masing-masing supaya pihak berkuasa dapat mengesan kedudukan bot-bot tersebut.

Beliau berkata, sistem itu akan dapat memberi amaran awal sekiranya mereka dikesan menghampiri atau akan memasuki sempadan maritim kedua-dua negara.

Mengulas mengenai demonstrasi dan ancaman keselamatan yang ditujukan kepada kedutaan dan rakyat Malaysia, Anifah berkata, kedua-dua negara mengulangi jaminan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia dan rakyat Indonesia di Malaysia akan dijaga demi kepentingan bersama.

Jelasnya, dalam hal ini, Malaysia telah meminta Kementerian Luar Republik Indonesia mewujudkan satu zon keselamatan antara premis Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan ketenteraman harta serta pegawai-pegawai di situ terjamin.

Dalam pada itu katanya, cadangan kerajaan Indonesia untuk membuka Pusat Pembelajaran Baru bagi anak-anak warganegara republik itu di Sabah akan dibincangkan.

Menurutnya, kerajaan Malaysia amat prihatin tentang keperluan anak-anak warganegara Indonesia di Sabah yang memerlukan pendidikan.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Leave a comment

Advertisement

Subscription

You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.

RSSLatest News (Follow Us @ Twitter)