SEREMBAN 2 Sept. – Orang ramai boleh mendapatkan bekalan pelbagai jenis daging seawal Selasa malam dan Rabu minggu hadapan sempena Mantai Perdana 2010 yang berlangsung di tapak bekas Kem Paroi, dekat sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bekalan daging itu termasuklah daripada 100 ekor lembu, 20 ekor kerbau, 55 ekor kambing, 3,000 ekor ayam daging, 3,000 ekor ayam telur daging, 10,000 ekor puyuh dan beberapa ekor itik dan rusa.
“Program ini telah kita jalankan sejak tiga tahun lalu dan sambutannya amat baik kerana ia memberi kemudahan kepada rakyat negeri ini mendapatkan bekalan daging,” katanya di sini hari ini.
Hari ‘mantai’ ini hanya berlaku di negeri ini dan merupakan tradisi sebelum bermulanya puasa dan Aidilfitri bagi mempermudahkan orang ramai mendapatkan bekalan daging untuk dibuat rendang, selain bagi tujuan masakan lauk-pauk tradisional tempatan.
“Harga bagi kesemua bekalan daging ini jauh lebih murah berbanding harga pasaran biasa dan pada hari berkenaan ia dijual dalam jumlah yang besar.
“Datanglah pada hari Selasa minggu hadapan mulai 7.45 malam untuk mendapatkan bekalan daging awal ataupun pada hari Rabu mulai 7 pagi sehingga petang. Belilah dengan bijak untuk persediaan Aidilfitri ini,” katanya.
Mohamad berkata, Mantai Perdana 2010 ini merupakan anjuran Jabatan Vaterinar negeri bersama kerajaan negeri, selain Lembaga Pelancongan negeri.
Sementara itu, Jabatan Pertanian negeri melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengeluarkan arahan satu kelulusan khusus kepada operator Pasar Tani seluruh negeri ini agar mereka dapat menjalankan perniagaan dua hari sebelum Aidilfitri.
“Terdapat lapan tapak Pasar Tani di seluruh negeri ini dan sempena Aidilfitri ini, kita benarkan mereka beroperasi dua hari atau sehari sebelum perayaan.
“Pada Rabu minggu hadapan, Pasar Tani Aidilfitri akan beroperasi di bekas tapak Kem Paroi bersama-sama Mantai Perdana 2010.
“Di lokasi lain, Pasar Tani ada yang beroperasi pada hari Rabu, mahupun Khamis sebelum Aidilfitri menjelang,” katanya.
Mengenai kawalan harga pada musim perayaan ini, kerajaan telah menetapkan sebanyak 18 barangan yang diletakan di bawah harga kawalan bermula 3 hingga 15 September depan.
“Barangan itu termasuklah ayam hidup, ayam standard, cili merah, tomato, kacang tanah dan sebagainya.
“Barangan ini dikawal harganya mengikut harga runcit yang dipersetujui bersama di antara kerajaan dan persatuan peniaga, selain mengelakkan kenaikan melampau yang boleh menjejaskan pembelian pengguna,” ujar Mohamad.
Tegasnya, bagi barangan seperti gula, beras, beras pulut dan minyak pula, bekalannya mencukupi bagi keperluan sepanjang musim perayaan ini.
“Saya nasihatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik kerana ia boleh mendorong kekurangan barangan keperluan di pasaran.
“Semua barangan telah kita pastikan mencukupi dan akan dapat memenuhi permintaan pengguna,” katanya.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.