KUANTAN 2 Sept. Kerajaan negeri kesal apabila projek melebarkan jalan raya yang menghubungkan Seremban ke Gua Musang melalui laluan Simpang Pelangai, Bentong, Karak, Kuala Lipis tidak diluluskan.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, mengikut perancangan awal, jalan tersebut bakal dinaik taraf kepada empat lorong dengan membabitkan kos sebanyak RM3.7 bilion.
Banyak perbincangan telah diadakan sebelum ini dan berdasarkan perancangan awal, ia sepatutnya merupakan jalan empat lorong tetapi kemudian dikurangkan kepada dua lorong dengan kos RM1.3 bilion.
Namun keputusan terakhir, hanya untuk memperbaiki jalan terpilih iaitu tempat-tempat yang dipercayai mempunyai risiko tinggi punca berlaku kemalangan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, semalam.
Projek melebarkan jalan berkenaan merupakan sebahagian daripada projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dilancarkan Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Oktober 2007.
Adnan memberitahu, dengan keputusan terkini itu, tiada pembaharuan akan dilakukan pada laluan membabitkan kawasan Bentong, Raub, Kuala Lipis ke Gua Musang.
Sebaliknya, kata beliau, hanya kawasan yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan akan dibaiki.
Sehubungan itu, tegasnya, pihaknya memutuskan supaya tidak perlu dilakukan sebarang pembaikan di jalan berkenaan sehingga keadaan ekonomi pulih.
Jabatan Kerja Raya (JKR), katanya, hanya perlu memasang lebih banyak papan tanda amaran di sepanjang kawasan berisiko kemalangan.
Oleh kerana perakuan ini dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan JKR iaitu hanya membaiki kawasan yang berlaku kemalangan, maka saya cadangkan tidak perlu buat apa-apa sehingga ekonomi pulih.
Kepada EPU dan JKR, tak payah buat apa-apa, pesan kepada orang Kelantan yang balik cuti Hari Raya Aidilfitri ini supaya berhati-hati, katanya.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.