JOHOR BAHRU 1 Sept. – Polis Johor sedang menyiasat dalang yang mengupah dan membekalkan maklumat kepada dua suspek kes penyamaran sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim ibni Sultan Ibrahim dalam laman sosial Facebook.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pasukan khas yang ditubuhkan kini giat menyoal siasat kedua-dua lelaki berusia 31 dan 33 tahun yang ditahan itu.
“Pihak kami sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui siapa yang membekalkan maklumat kepada mereka serta siapa yang mengupah mereka untuk menyamar sebagai TMJ kemudian menulis perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
“Setelah laporan ini siap, kita akan mengkaji dan tindakan susulan akan diambil termasuk mengetahui jaringan mereka dan saki-baki suspek akan dicekup,” katanya semasa diminta mengulas perkembangan terkini kes penyamaran TMJ dalam Facebook yang didedahkan baru-baru ini.
Mohd. Mokhtar berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ops Sikap Ke-22 peringkat negeri di Plaza Tol Skudai di sini, hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan dua lelaki ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Majidee, Johor Bahru semalam bagi membantu siasatan kes penyamaran tersebut.
Mereka ditahan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu pukul 1.30 pagi. Polis turut merampas dua komputer riba dan sebuah telefon bimbit daripada mereka.
Laman yang dinamakan ‘Diari Harian Tunku Mahkota Johor’ itu dipercayai dikendalikan oleh seorang individu dikenali sebagai ‘Miky’.
Ia dikatakan mempunyai kira-kira 10,000 peminat semasa akaun itu masih aktif.
Selain memuat naik gambar dan aktiviti Tunku Ismail Ibrahim, individu tersebut juga sebelum ini melayan komen-komen peminat yang menyangkakan dirinya ialah TMJ sebenar.
Mohd. Mokhtar berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tiga hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.