
JEMPOL 2 Sept. – Misteri kewujudan tangki air berwarna hitam di belakang sebuah rumah di Batu Bakar, Bahau dekat sini akhirnya terbongkar apabila polis menemui pelbagai jenis mercun yang disorok di dalamnya.
Penemuan barang larangan itu mengejutkan kerana ia dikendalikan oleh seorang warga emas berusia 76 tahun dan menjualnya di sekitar pekan Bahau dan kawasan berdekatan.
Ketua Polis daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, hasil pemeriksaan dalam tangki air berkenaan, pihaknya menemui mercun yang dianggarkan bernilai lebih RM1,000.
“Tindakan warga emas ini jelas menyalahi peraturan kerana ia boleh membahayakan keselamatan orang awam, apatah lagi ia disembunyikan dalam sebuah tangki air,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, polis menerima maklumat daripada orang ramai mengenai penemuan mercun itu dan menyerbu rumah tersebut kira-kira pukul 6.45 petang semalam.
Operasi tersebut, katanya, diketuai Ketua Balai Polis Bahau, Cif Inspektor Ismail Abd. Wahab turut mendapati warga emas itu merupakan seorang peniaga minuman di kedai berhampiran.
“Suspek ditahan di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
Berikutan itu, Mohd. Sabri memberi amaran polis akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang memiliki, menjual atau mengedarkan mercun sepanjang musim perayaan ini.
“Kita tidak akan berkompromi dalam soal pemilikan mercun yang dilarang dan berharap orang ramai dapat mematuhi arahan dan larangan ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu orang ramai sedar betapa mercun boleh mengundang padah jika ia terus dijual, malahan boleh membawa maut.
Setakat ini hanya ada dua jenis mercun sahaja dibenarkan untuk dijual seperti ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Bom’.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.