SUBANG JAYA 2 Sept. – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan memperkenalkan tapak niaga mirip bazar Ramadan selewat-lewatnya Oktober ini.
Bazar itu hanya memberi fokus kepada jualan kuih-muih, lauk-pauk serta minuman-minuman istimewa yang selama ini hanya boleh diperoleh pada bulan puasa sahaja.
Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md. Ikhsan bagaimanapun berkata, tawaran itu hanya dibuka kepada para peniaga bazar Ramadan yang benar-benar serius, mematuhi peraturan selain menjual produk berbeza.
Menurutnya, pengenalan bazar tersebut adalah kesinambungan kepada bazar Ramadan yang lazimnya dibuka sepanjang bulan puasa sahaja.
“Ia bukan sahaja bertujuan membantu mengembangkan perniagaan para peniaga Bazar Ramadan yang sebahagian besarnya hanya berniaga di bulan tersebut, tetapi juga memastikan masyarakat dapat menikmati hidangan yang selama ini sukar diperoleh pada bulan-bulan biasa,” katanya di sini.
Setakat ini, kata Adnan, terdapat dua lokasi dikenal pasti untuk dijadikan projek perintis bazar itu iaitu di USJ 4 melibatkan seramai 13 peniaga dan Puchong Permai seramai 10 orang peniaga.
Bazar di USJ 4 akan dibuka pada setiap hari Jumaat dari pukul 4 petang hingga 9 malam manakala di Puchong Permai pada setiap hari Selasa pada waktu yang sama.
Adnan berkata, bazar yang masih belum diberikan namanya itu akan dimulakan selewat-lewatnya hujung Oktober ini.
“Sekiranya mendapatkan sambutan daripada orang ramai, kita pasti akan mengembangkannya ke lokasi-lokasi lain di seluruh kawasan pentadbiran MPSJ,” ujarnya.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.