KUALA LUMPUR 2 Sept. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini mendakwa beliau tidak pernah memiliki atau mendaftarkan dirinya dalam akaun laman sosial popular Facebook.
Dakwaan itu dibuat berikutan penemuan satu akaun laman sosial yang menggunakan nama dan gambar peribadinya tanpa kebenaran dan pengetahuannya.
Berikutan itu, satu laporan telah dibuat melalui Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fazli Ahmad Nordin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Ahmad Fazli ketika dihubungi berkata, kewujudan akaun Facebook itu disedari oleh beberapa kakitangan di jabatannya sebelum beliau sendiri melihat laman sosial tersebut kira-kira pukul 10 pagi 17 Ogos lalu.
Mohamed Nazri tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk membuka akaun laman sosial beliau.
Malah, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai akaun laman sosial berkenaan tambahan pula ia menggunakan gambar dirinya, katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada ia perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan reputasi dan maruah Mohamed Nazri, menurut Ahmad Fazli, pihaknya tidak mengetahui apa motif sebenar tindakan individu terbabit berbuat demikian.
Beliau berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.