PETALING JAYA 1 Sept. – Polis memburu seorang pembantu rumah warga Indonesia untuk membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia 15 bulan yang dipercayai didera di kediamannya di Jalan Wawasan, Pusat Bandar Puchong dekat sini minggu lalu.
Wanita yang dikehendaki polis itu dikenali sebagai Rita Rohayati, 25, berasal dari Majalengka, Jawa Barat. Dia berkhidmat dengan keluarga mangsa selama setahun tujuh bulan.
Pada 27 Ogos lalu, bayi malang itu, Tan Jin Yong dikejarkan ke Pusat Perubatan Colombia Asia di Bandar Putri Puchong setelah tidak sedarkan diri, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
Mangsa dihantar ke hospital tersebut oleh bapa saudaranya kira-kira pukul 4 petang hari kejadian kerana ketika itu bapanya, Tan Meng Kiang, 42, seorang peniaga, sedang bekerja di Taman OUG di ibu negara.
Rita sendiri sempat memaklumkan kepada Meng Kiang mengenai kejadian yang menimpa anak tunggal majikannya itu, sebelum dia menghilangkan diri.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, bedah siasat ke atas mayat Jin Yong di Hospital Serdang sehari kemudian mengesahkan mangsa mati akibat pendarahan dalam otak dan jangkitan kuman dalam paru-paru.
“Ahli patologi Hospital Serdang, Dr. Lee Jiun Yih mengesahkan kematian Jin Yong mempunyai unsur jenayah berdasarkan kesan-kesan lebam pada leher mangsa dipercayai akibat dicekik.
“Doktor turut menemui kesan keretakan di tulang kaki mangsa yang menunjukkan mangsa mungkin pernah didera sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Serdang di sini hari ini.
Berikutan perkembangan itu, Abd. Razak memberitahu, polis yang pada mulanya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut akan menyiasatnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Rita supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-89484222 bagi membantu siasatan.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.