SHAH ALAM 2 Sept. – Semua pihak dinasihatkan menghormati dan tidak mempertikaikan arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan bukan Islam memasuki dan mengadakan sebarang acara di ruang solat utama masjid dan surau di negeri ini.
Timbalan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Abdul Halem Hapiz Salihin berkata, sebagai Ketua Agama Islam negeri, baginda berhak mengeluarkan titah selaras dengan Seksyen 3 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.
Malah, katanya, baginda sendiri mempraktikkan titah itu sejak dulu lagi bagi memelihara kesucian institusi ibadat umat Islam di negeri ini.
”Sebagai contoh pada 1989, baginda yang ketika itu menjadi Raja Muda telah berkenan mengiringi Ratu Elizabeth melawat masjid negeri.
”Semasa lawatan itu, Ratu Elizabeth yang ingin melihat kubah menghormati tertib masuk ke masjid dengan memakai pakaian menutup aurat dan tidak masuk ke ruang solat yang telah dihadkan atas panduan yang diberikan baginda.
”Jika Ratu Elizabeth boleh menghormati tertib masuk ke masjid ketika datang ke negeri ini, mengapa rakyat di negeri ini tidak boleh berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di sini petang ini.
Menurut Abdul Halem, baginda sentiasa memelihara kebajikan rakyat berbilang bangsa serta agama di negeri ini dan sebarang titah yang dikeluarkan baginda telah mengambil kira kepentingan semua pihak.
”Titah baginda tidak membenarkan orang bukan Islam masuk ke dalam ruang solat utama masjid dan surau bukannya tidak boleh masuk langsung ke masjid.
”Ia demi memelihara tempat beribadat dan bersujud umat Islam dan titah itu adalah adil,” katanya.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.