RM20,000 untuk mangsa banjir Pensiangan

Posted by on Jun 03, 2010 | Leave a Comment

KOTA KINABALU 3 Jun – Sebanyak RM20,000 berjaya dikumpul bagi membantu meringankan beban 83 keluarga daripada 12 kampung di Pensiangan yang menjadi mangsa banjir bulan lalu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, bantuan berupa wang dan barangan keperluan harian merupakan sumbangan pelbagai agensi kerajaan dan badan korporat di negara ini.

Katanya, antara penyumbang tersebut ialah Standard Chartered Bank yang menderma wang tunai RM12,000, Petronita (Petronas) RM10,000, Puspasnita Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (RM3,000) dan STI Technical Sabah (RM200).

“Kita memuji usaha agensi dan badan korporat ini melaksanakan tanggungjawab sosial mereka (CSR) bagi membantu lebih 200 penduduk kampung di daerah Pensiangan yang kehilangan rumah akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima sumbangan berkenaan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menerima sumbangan seperti beras, minyak masak, ubat-ubatan, penapis air, pakaian dan bahan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan itu.

Banjir besar yang melanda daerah pedalaman itu bulan lalu mengakibatkan 17 buah rumah musnah manakala 31 lagi rosak, selain kerosakan paip graviti dan jambatan.

Berikutan itu, mangsa banjir terpaksa menumpang rumah keluarga dan tinggal buat sementara waktu di balai-balai raya kampung masing-masing.

Kurup berkata, bantuan itu akan dihantar menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

”Kami menggunakan helikopter tentera untuk menghantar bantuan itu kerana ia lebih cepat berbanding jalan darat yang mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke sana.

”Ia juga memerlukan kos yang tinggi apabila menggunakan bot. Lagipun, penduduk sudah lama menunggu bantuan ini,” jelasnya.

Beliau menambah, baki sumbangan akan digunakan bagi membantu mangsa jika selepas tempoh sebulan keadaan mereka masih belum pulih sepenuhnya.

Mengenai jumlah kerugian banjir tersebut, Kurup menjelaskan, pihaknya belum mendapat nilai keseluruhan kerana banyak aspek perlu diambil kira.

Beliau juga mengesahkan pihaknya akan berbincang dengan kementerian berkenaan bagi membina semula jambatan yang runtuh dalam kejadian banjir itu.

“Kita perlu berbincang dengan pihak seperti Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan Jabatan Ketua Menteri dan akan cuba minta peruntukan daripada pihak-pihak ini,” katanya.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Leave a comment

Advertisement

Subscription

You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.

RSSLatest News (Follow Us @ Twitter)