MELAKA 2 Sept. Bekas tentera British yang tidak meneruskan khidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas pasukan itu dibubarkan pada 1971 layak menerima bantuan kewangan daripada Royal Commonwealth Ex-Services League berpengkalan di Britain.
Presiden Persatuan Bekas Askar British Malaysia, Che Onn Neamat berkata, perkara tersebut terkandung dalam perjanjian yang dimeterai oleh persatuannya dengan Royal Commonwealth Ex-Services League.
Menurutnya, pihak berkenaan mahu memastikan hanya mereka berkhidmat dengan tentera British layak menerima bantuan tersebut tanpa sebarang had tempoh berkhidmat sebelum pasukan itu dibubarkan.
Katanya, bagi isteri yang berkahwin dengan bekas tentera British selepas beliau berhenti daripada pasukan itu, tidak layak menerima bantuan disediakan.
Dua perkara tersebut menjadi pertimbangan kepada bekas tentera British untuk menerima bantuan kewangan yang akan diterima setiap tahun, katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata, setiap permohonan perlu menyertakan salinan sah sijil berhenti sebagai tentera British di samping salinan surat nikah, kad pengenalan dan gambar suami.
Katanya, permohonan tersebut boleh dihantar di alamat, Persatuan Bekas Askar British Peti Surat 35, Gombak, 53800 Kuala Lumpur atau menghubungi talian 012-6590136.
Dipetik dari Utusan Malaysia
You can subscribe by e-mail to receive news updates and breaking stories.