Kualiti Jalan Kampung Awah Ke Bandar Tun Razak Teruk

Photo of author

By Malaysia Zoom

Lubang di jalan raya, kejadian biasa bagi penduduk setempat.

Saudara Pengarang,

Infrastruktur seperti kualiti jalan raya, penyediaan air bersih, dan pendidikan adalah aspek-aspek penting yang menjadi tumpuan kerajaan dalam memperbaiki taraf hidup rakyat. Walaubagaimanapun, terdapat isu-isu tertentu yang masih belum mendapat penyelesaian penuh dan memerlukan perhatian khusus daripada pemimpin setempat, wakil rakyat, dan pihak kerajaan.

Saya ingin menyoroti keadaan jalan dari Simpang Kampung Awah menuju Bandar Tun Abdul Razak Jengka sehingga Simpang Felda Jengka 8. Ini adalah laluan utama yang digunakan oleh ramai pihak termasuk pegawai Felda, guru, pelajar, dan pensyarah.

Sebagai penduduk setempat dan generasi peneroka Felda di Wilayah Jengka, saya rasa ada kecenderungan kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mengabaikan tanggungjawab mereka dalam menyediakan infrastruktur jalan raya yang layak di kawasan ini.

Jalan utama dari Kampung Awah ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka 8 adalah penting dan memerlukan peningkatan kerana kepentingannya sebagai laluan ke Jerantut dan Maran. Dari apa yang saya dengar daripada perbualan penduduk di kedai-kedai, ramai yang kecewa dengan keadaan jalan yang menyerupai negara yang baru merdeka.

Keadaan jalan di Felda Jengka 15, Jengka 16, dan Kampung Awah yang sempit, berlubang, dan tidak rata adalah risiko kepada pengguna jalan. Saya berharap agar pihak berwajib, khususnya wakil rakyat, mengambil tindakan segera, memandangkan Bandar Tun Razak Jengka kini menjadi tumpuan bukan hanya bagi penduduk setempat tetapi juga pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin melihat kehidupan peneroka.

Dengan hormat,

PENEROKA PRIHATIN
Bandar Tun Razak, Jengka